PRU15: Pas sokong parti yang beri manfaat - Penganalisis politik

Astro Awani
Mac 9, 2021 07:03 MYT
Dr Awang Azman berkata, sokongan Pas dilihat akan beralih kepada UMNO atau tetap bersama Bersatu bergantung kepada manfaat yang diperoleh mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pas akan memberi sokongan kepada parti dominan yang akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama seperti yang dilakukan mereka bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sokongan Pas dilihat akan beralih kepada UMNO atau tetap bersama Bersatu bergantung kepada manfaat yang diperoleh mereka.
"Namun saya kira apabila Parlimen itu bubar, saya kira pendirian Pas akan berubah dan kita tahu Pas macam sebuah parti politik, mereka akan melihat parti mana yang boleh memberikan manfaat kepada mereka.
"Kalau sekarang mereka melihat Bersatu memberi manfaat kepada mereka dari segi jawatan menteri, timbalan menteri, jawatan GLC, maka mereka menyokong penuh kepada parti Bersatu.
"Namun selepas PRU nanti, berdasarkan parti mana, UMNO dominan atau parti Bersatu lebih dominan, Pas akan ke parti mana yang memberi lebih manfaat dari segi kepentingan politik mereka sendiri," katanya semasa sidang video pada Selasa.
Dalam pada itu kata Dr Awang Azman, UMNO dan Bersatu perlu melihat kerusi yang dimenangi PKR atau DAP untuk mengelakkan pertembungan sesama mereka pada PRU15 nanti.
"Dalam konteks semasa kita dapat lihat bahawa isu kerjasama politik ini khususnya di antara Bersatu dan UMNO ini dapat laluan yang sukar kerana mereka mempunyai prasyarat undi yang sama sekiranya yang dilawan fokus kepada kerusi yang dimenangi PKR atau DAP misalnya, ini tidak akan berlaku pertembungan yang kuat.
"Perkara asas ialah UMNO sukar menyerahkan kerusi tradisi mereka, apatah lagi sekiranya berlaku pengagihan kerusi yang mereka yakin menang.
"Sekiranya pengagihan 50 kerusi kepada Bersatu, 50 kerusi kepada UMNO, secara automatik akar umbi UMNO melihat bahawa situasi ini akan menyebabkan UMNO tidak kembali dominan dan ini akan menyebabkan berlaku sama ada dalam bentuk sabotaj politik atau undi protes di peringkat dalaman di antara kedua-dua parti tersebut," katanya lagi.
Dalam pada itu ujarnya, masalah idealisme mudah diselesaikan di peringkat atasan Bersatu, UMNO dan Pas namun sukar diterima di peringkat bawahan dan akar umbi.
#UMNO #PAS #PKR #DAP #PRU #GLC #Parlimen #pilihan raya umum #Bersatu #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #pilihan raya #politik #parti dominan