GUA MUSANG: Tindakan pemimpin yang melakukan protes dengan bertanding atas tiket parti lain selepas ‘merajuk’ kerana namanya tidak dicalonkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah pejuang parti yang sebenar.

Penyandang Kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, pemimpin di semua peringkat seharusnya menerima keputusan parti untuk meletakkan siapa sahaja calon dalam PRU15.

Dalam masa sama, kata beliau, sikap pemimpin kecewa yang menukar parti lain bukanlah perkara baharu malah disifatkan sebagai tidak matang.

Menurut Tengku Razaleigh, sekiranya seseorang individu itu benar-benar berhajat menjadi calon PRU15, namun, jika Tuhan tidak mengizinkan, maka tiada apa yang mampu dilakukan.

“Parti sudah buat keputusan nak kemuka atau tampilkan berapa ramai orang baharu yang boleh bagi khidmat yang baik. Lebih baik daripada yang lama-lama… ini bukan bererti (bekas penyandang) tidak berguna, jadi kita kena fahamlah dan hakikatnya kita mahu parti menang, bukan diri kita menang.

“Kita jadi alat kepada rakyat dan juga kepada parti, jadi ini bukan milik kita. Sampai masa kita pun kena berundur. Nabi Muhammad pun berundur. Tak ada yang kekal. Kena ada fahaman itulah, tapi kalau nak merajuk, budak-budak pun merajuk juga.

“Tak apalah dia merajuk, dia nak masuk parti lain tu bukan perkara baharu, ada orang merajuk kerana dia rasa kecewa. Dia masuk parti lain itu dukacitalah kalau itu sikap dia, maknanya dia bukanlah menjadi pejuang kita sebenarnya,” tegas Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohonan Bola Jaring Piala Ku Li, di Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini, hari ini.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim serta penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib sah bertanding atas tiket Perikatan Nasional pada PRU15.

Kedua-dua bekas anggota Kabinet itu sebelum ini yang masing-masing merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menang kerusi masing-masing pada PRU14 dengan menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).