IPOH: Semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar meletakkan lebih ramai calon dari kalangan orang muda.

Bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, ia sejajar pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas yang diwartakan dan berkuat kuasa 15 Disember tahun lalu.

Beliau yakin, semua parti politik akan mengambil peluang untuk mengetengahkan calon muda masing-masing seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tempoh hari.

“Saya rasa PRU15 ini adalah pertarungan antara orang muda, tetapi ia bukanlah bermakna orang lama diketepikan terus,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau merupakan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika pergerakan itu diketuai Khairy Jamaluddin bagi sesi 2013 - 2018.

Menurut Syamsul Baharin Putra, pada PRU14 lalu, banyak parti, khususnya pembangkang meletakkan calon orang muda dan kemuncaknya pada PRN Melaka dan Johor, UMNO / Barisan Nasional (BN) turut mengambil langkah sama.

“Hasilnya, antara 60 - 70 peratus calon-calon muda itu menang dengan bergaya,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, berdasarkan lanskap politik masa kini, pengundi, khususnya golongan muda, tidak akan mengundi berdasarkan parti.

“Sekarang ini bilangan parti sudah terlalu banyak. Saya yakin, orang tidak lagi melihat kepada lambang atau logo parti, sebaliknya orang akan melihat calon atau individu yang bertanding,” tambahnya.

Katanya, sebenarnya parti-parti politik termasuk UMNO sendiri mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh diketengahkan sebagai calon pilihan raya.

“Pada saya yang telah lama berkecimpung dalam politik, kita tidak pernah ketandusan calon muda, cuma mereka tidak diberi peluang.

“Kalau mereka diberi peluang, insyaAllah ramai calon muda yang sudi berkhidmat,” ujarnya.