KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Penyelaras Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Parlimen Ranau, Datuk Ewon Ebin bertanding di kerusi Parlimen itu jelas membelakangkan keputusan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata tindakan itu tidak mendapat restu BN Sabah.

Justeru katanya, demi menghormati kerjasama antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), BN Sabah akan mengarahkan semua jentera parti untuk bekerja dan memenangkan calon GRS di Ranau iaitu Datuk Jonathan Yasin.

"Kita sama sekali menafikan penggunaan Logo BN oleh PBRS, dan BN tidak merestuinya.

"Calon PBRS ini tidak mempunyai watikah BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Ranau.

"BN Sabah akan terus menghormati kerjasama antara BN dan GRS di negeri ini dalam PRU15, dan di Parlimen Ranau ini penyokong BN akan terus memberi sokongan kepada Calon GRS," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka

SEMAK CALON PRU15 DI SINI

Beliau turut mengesahkan menerima makluman daripada Setiausaha Agung PBRS berkenaan pembatalan penggunaan logo PBRS oleh Ewon melalui surat daripada parti itu yang bertarikh 4 November.

Bagaimanapun, semakan pada laman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati Ewon disahkan bertanding atas logo PBRS.

Persaingan merebut kerusi Parlimen Ranau menjadi hangat susulan tindakan Ewon  bertanding atas logo PBRS menentang Jonathan daripada GRS yang juga merupakan penyandang kerusi tersebut.

Turut terlibat dalam persaingan lima penjuru di kerusi berkenaan ialah Taufik Dahlan mewakili Pakatan Harapan, Azizul Julirin (Pejuang) dan Markos Siton (Warisan).