BATU PAHAT: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon membidas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung fitnah terhadap dirinya berkaitan jawatan Timbalan Speaker.

Ujarnya, Pakatan Harapan (PH) juga dilihat membawa pendekatan fitnah dan murahan sewaktu berkempen selain tidak menggunakan fakta yang sebenar.

Malah katanya, PH juga dilihat tidak mempunyai senjata yang kukuh untuk dijadikan sebagai bahan menyerang beliau.

"Mereka serang saya secara terbuka dalam siri kempen dan ceramah di Batu Pahat kononnya saya menangis dan menangis dan merayu jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat diberikan kepada saya.

"Mereka lemparkan tuduhan dan fitnah bahawa saya khianat dengan gelaran 'katak tak guna' serta meminta saya 'dibuang ke laut dan parit' pada 19 November.

"Orang yang baik pun kalau dicampak ke laut boleh jadi pulau," katanya ketika sidang media khas di Bilik Operasi Utama PN Batu Pahat pada Isnin.

Baru-baru ini, Anwar Ibrahim ketika siri jelajah Pakatan Harapan mendakwa Mohd Rashid pernah menangis serta merayu untuk mendapatkan jawatan terbabit ketika PH mentadbir kerajaan.

Selain itu, Mohd Rashid yang juga merupakan penyandang kerusi berkenaan dianggap sebagai pengkhianat parti termasuk pengundinya.

Beliau bagaimanapun sebelum ini telah menyatakan bahawa pelantikan beliau berdasarkan undian dan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Kemenangan Mohd Rashid yang memenangi kerusi itu pada PRU14 yang lalu adalah atas tiket PKR dengan majoriti 17,894 undi.


Beliau turut menewaskan calon BN, Haliza Abdullah serta calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed. 

Bagaimanapun, Mohd Rashid membuat keputusan untuk keluar parti apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Bersatu.

Pada 2020, Mohd Rashid dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

[INFOGRAFIK] 222 kerusi Parlimen, 945 calon PRU15