ALOR GAJAH: Pakatan Harapan (PH) Melaka bersifat terbuka dan tidak menolak kemungkinan menerima calon luar Melaka untuk bertanding di mana-mana enam kerusi Parlimen di negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata pertimbangan itu akan dilihat dengan syarat calon 'payung terjun' itu mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Parti ini bersifat nasional...tiada garis atau kawasan negeri menghalang kita dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Jadi kita cari calon berpotensi yang mampu memberi perkhidmatan kepada masyarakat," katanya.

PRU15 | PH Melaka terbuka pertimbang calon luar

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Jelajah Mega Harapan Negeri Melaka dan Pelancaran Jentera PRU15 Harapan Melaka Taman Sungai Petai Permai di sini lewat malam tadi, yang dilancarkan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa yang sama, Adly memaklumkan komposisi calon yang akan diketengahkan pada PRU15 mungkin terdiri daripada gabungan muka baharu dan lama.

Mengulas mengenai senarai calon, Adly berkata PH Melaka kini hanya menunggu Parti Amanah Negara (Amanah) untuk memuktamadkan senarai akhir calon yang dijangka diserahkan pada 30 Okt ini.

"Secara asasnya kita semua hampir memuktamadkan (senarai calon). Insya-Allah, apabila semua parti sudah sepakat ia akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA