PRU15: PKR pertaruh Hasni calon di Parlimen Sembrong

Bernama
November 1, 2022 06:40 MYT
Hasni adalah seorang aktivis Bahasa Melayu dan pendidikan dengan latar belakang sastera dan sains politik, selain pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Gambar fail
PETALING JAYA: Setiausaha Pengelola PKR Johor dan Ketua Cabang Parit Sulong, Hasni Abas diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Sembrong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 Nov ini.
Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, Hasni, 60, adalah seorang aktivis Bahasa Melayu dan pendidikan dengan latar belakang sastera dan sains politik, selain pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Kami mengambil kira faktor, antaranya Sembrong mempunyai pengundi Felda yang tinggi dan belum pernah dimenangi oleh PKR dan sebab itu kami galaskan Hasni, selaku pejuang Bahasa Melayu untuk bertanding di kerusi tersebut," katanya pada sidang media di ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.
DAPATKAN KEPUTUSAN PRU LALU DI SINI
Penyandang kerusi Parlimen Sembrong adalah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempertahankan kerusi tersebut sejak empat penggal lepas dan menurut laporan media, beliau memberi bayangan bahawa akan bertanding di kerusi itu.
Hishammuddin bertanding di kerusi Parlimen Sembrong bermula PRU11 pada 2004 hingga PRU14 pada 2018 yang menyaksikan Hishammuddin menewaskan calon PKR Onn Abu Bakar dengan majoriti 6,662 undi. - BERNAMA
#PRU15 #calon PKR #Parlimen Sembrong #Hasni Abas