KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menetapkan hujung bulan ini sebagai hari terakhir untuk cabang parti itu mengemukakan nama calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya Roland Engan berkata calon yang disenarai pendek perlu diperakui oleh jawatankuasa masing-masing sebelum diserahkan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

“Mereka (cabang) mempunyai masa sehingga hujung September ini untuk mengemukakan nama calon yang telah dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa.

"Maksudnya tidak ada calon bidan terjun,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR Sarawak di sini pada Jumaat.

PKR katanya akan bertanding di 16 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan termasuk Julau dan Selangau yang sebelum ini disandang Larry Sng dan Baru Bian.

“Pada mesyuarat PH Sarawak lalu, Parlimen Julau diserahkan kepada PKR.

"Sebelum ini (PRU14) PKR hanya bertanding di 15 kerusi, namun dengan penyerahan kawasan Julau itu menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang diperuntukkan untuk PKR adalah 16 kerusi," ujarnya.

Ia melibatkan kerusi Parlimen Petra Jaya, Puncak Borneo, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Kanowit, Mukah, Selangau, Hulu Rajang, Sibuti, Miri, Baram, Limbang dan Lawas.

Mengulas lanjut mengenai calon, Roland yang juga Ketua Cabang PKR Baram berkata pihaknya telah menyerahkan namanya kepada MPN, dan nama Pengarah Pilihan Raya PKR Sarawak, Abun Sui Anyit juga telah dicalonkan oleh cabang PKR Hulu Rajang untuk bertanding.

Bagaimanapun jelasnya, keputusan akhir terletak di tangan MPN selepas membuat penilaian dengan teliti termasuk mengambil kira faktor tertentu serta pemilihan calon boleh menang.