SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat.

Perkara itu dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ciapan di Twitter pada Khamis.

“Esok (Jumaat) akan mengumumkan senarai calon Keadilan bagi mendepani PRU15 di bawah panji PH,” katanya yang turut memuat naik sebuah poster di mana pengumuman calon itu akan dibuat pada jam 8.30 malam di Padang MPAJ Taman Kosas, Ampang.

Tambah Anwar, PKR akan menampilkan calon berwibawa merangkumi pelbagai segmen masyarakat yang datang daripada latar belakang berbeza.

"Antaranya golongan profesional, agamawan, penggerak belia dan anak muda," katanya.

PKR sebelum ini telah mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding dalam PRU15.

Antara calon tersebut ialah ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz; bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Selain itu, turut dicalonkan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM), Dr Nur Aisyah Abdul Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop dan siswazah dari UM, Fathin Amelina Fazlie. -Sinar Harian