PRU15: PN bertanding 169 kerusi Parlimen, 116 DUN - Muhyiddin

Rahimah Abdullah
November 1, 2022 14:38 MYT
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN yakin mampu menang tidak kurang daripada 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan meletakkan calon di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN yakin mampu menang tidak kurang daripada 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.
“Kerusi kita akan tanding akan termasuk Kelantan dan Terengganu iaitu 169 kerusi Parlimen.
“PN juga akan bertanding di DUN, 116 semuanya yang akan ditandingi pada pilihan raya di Pahang, Perak dan Perlis.
“Kita bertanding Parlimen dan negeri. Insya-Allah kita akan menang untuk kerajaan negeri di tiga buah negeri.
“Bila sampai masa pilihan raya, daripada 169 ini kita akan 'strike' tak kurang 112 kerusi... kita boleh bentuk kerajaan,” katanya semasa mengumumkan calon PRU15 bagi gabungan itu di MITEC di sini, malam ini.
PRU15: Azmin di Gombak, Faizal di Tambun, ini senarai calon PN diumum Muhyiddin
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Dalam pada itu, katanya calon bagi kerusi di Kelantan dan Terengganu akan diumum pada esok atau lusa.
“Malam ini selain negeri Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.
Daripada pembahagian kerusi itu, Pas akan bertanding di 64 kerusi Parlimen, Gerakan (20), Bersatu (74) dan parti bersekutu (11).
#PRU15 #Calon PRU15 #Perikatan Nasional #Muhyiddin Yassin