PRU15: PN yakin capai kemenangan, harap rakyat keluar mengundi - Muhyiddin

Irwan Muhammad Zain
November 14, 2022 12:03 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada Sabtu ini bagi memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dalam baki kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tinggal empat hari lagi, Perikatan Nasional (PN) yakin mampu mencapai kemenangan seperti yang disasarkan.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, gabungan itu mempunyai strategi khusus untuk menawan hati pengundi.
"Sasaran kita mahu menang dan kita tahu di mana kekuatan dan kelemahannya. Apa yang akan kita tumpukan dalam hari yang mendatang supaya angka-angka kita harap tercapai akan tercapai.
"Ini yang sedang kita lakukan dan kita tahu kawasan-kawasan sasaran tersebut kerana kita ada maklumat. Kita ada strategi untuk menawan hati pengundi, siapa pengundi itu, Melayu, Cina, India. Perkara ini kita ambil tahu.
"Untuk beberapa hari mendatang kita lakukan apa yang mustahak kita lakukan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada Sabtu ini bagi memastikan kemenangan calon gabungan tersebut.
Beliau berkata, setakat 10 hari berkempen, majoriti pengundi sudah tidak sabar untuk keluar mengundi terutamanya pengundi pertama kali dan pengundi muda.
Katanya, dengan tawaran manifesto menarik yang dibuat PN, penerimaan rakyat sangat baik dan mahu momentum tersebut diteruskan sehingga ke garisan penamat.
“Saya akui kami (PN) hadapi cabaran besar tetapi kita yakin sebahagian besar pengundi akan menyokong PN. Saya mahu 100 peratus keluar mengundi. Kalau tak dapat seratus peratus, dapat 90 atau 95 peratus pun boleh.
“Kalau jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN), tahulah musibahnya, begitu juga kalau jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), kena ingat pemerintahan 22 bulan mereka,” kata Muhyiddin lagi.
Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkenaan isu kerusi Parlimen Beluran dan Muhyiddin tidak faham mengenai politik Sabah, beliau berkata, pandangan itu adalah tidak tepat.
#Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #PRU15 #cuti umum PRU15