PRU15: Polis buka kertas siasatan kesan individu bakar poster PM

Adie Sufian Zulkefli
November 16, 2022 03:40 MYT
Poster kempen wajah Ismail Sabri dengan kesan terbakar dilihat di Kampung Gelong Air, Mukim Gunung, Alor Setar. - Foto PDRM
ALOR SETAR: Polis sedang mengesan individu yang melakukan perbuatan khianat dengan membakar poster kempen wajah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Mashitah Ibrahim, di Kampung Gelong Air, Mukim Gunung, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan dibuat petugas BN pada jam 3 petang semalam, sebaik menyedari poster itu terdapat kesan bakar.
“Unit Forensik melakukan siasatan di tempat kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pelaku.
"Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membakar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun yang juga wakil Mashitah berkata, perbuatan membakar poster seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Katanya, semua pihak perlu matang dan tidak melakukan sebarang provokasi.
#PRU15 #bakar poster #ismail sabri yaakob #Polis Kota Setar