KUANTAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menzahirkan rasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli terhadapnya dalam satu majlis Pakatan Harapan (PH) pada 25 Oktober lalu.

Menurut Saifuddin, selain dakwaan tidak benar dilemparkan, Saifuddin juga cuba mengelirukan rakyat terutama pengundi di Parlimen disandangnya itu.

"Saya memang agak terkilan kerana saudara Rafizi mengambil kesempatan untuk menyerang secara peribadi, nama ayah saya pun dia tak boleh sebut dengan betul… nama ayah saya Abdullah bukan Dollah, jadi kita harus berhemahlah walaupun nak mengkritik seseorang," kata Saifuddin dalam sidang media di Pusat Khidmat Indera Mahkota, di sini, pada Khamis.

Bahkan, tegas Saifuddin, dakwaan Rafizi menjadi orang yang membawanya masuk PKR sejak 2015 juga tidak benar.

Sebaliknya, kata Saifuddin, penyertaan beliau dalam PKR disebabkan pertemuannya dengan bekas Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi ketika berucap dalam program Ayuh Malaysia pada Selasa lalu antara lain mendedahkan bahawa beliau penyebab Saifuddin menyertai PKR.

Malah Rafizi dalam ucapannya berkata, beliau mengenali Saifuddin sebelum kedua-dua mereka memasuki gelanggang politik.

Pada PRU14, Saifuddin memenangi kerusi Parlimen Indera Mahkota dengan majoriti 10,950 undi atas tiket Perikatan Harapan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Johan Mat Sah dan calon Pas, Nasrudin Hassan.