PUTRAJAYA: Rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tan Sri M Ramasamy terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyennya dan mengekalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), R Yuneswaran di Parlimen Segamat ditangguhkan ke Selasa depan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Datuk Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu selepas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Ramasamy, tidak dapat menghadiri prosiding kerana mengalami migrain.

Turut bersidang ialah Hakim, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Selain Muhammad Shafee, bekas calon BN itu selaku perayu turut diwakili peguam Sarah Maalini Abishegam.

Responden dalam kes ini ialah SPR, diwakili Peguam Kanan Persekutuan dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Suzana Atan sementara Yuneswaran oleh peguam, Lau Yi Leong.

Semasa prosiding, Sarah Maalini berkata, Muhammad Shafee telah menerima sijil cuti sakit (MC) akibat serangan vertigo.

“Pagi tadi, kami terima panggilan daripada Shafee yang memaklumkan beliau tak sihat dan dinasihatkan untuk tidak berjalan bagi mengelakkannya daripada terjatuh.

“Beliau baru pulang dari luar negara dan menghadiri prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Rabu dan Khamis, namun keadaannya bertambah teruk, maka kami mohon prosiding inj ditangguhkan ke tarikh lain,” katanya.

Rayuan tersebut difailkan pada 14 April lalu di Mahkamah Persekutuan di sini.

Ramasamy menamakan Yuneswaran, SPR, Pegawai Pengurus bahagian Pilihan Raya Segamat selaku responden dalam rayuan tersebut.

Pada 3 April lalu, Mahkamah Pilihan Raya Muar mengekalkan kemenangan Yuneswaran selepas menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Ramasamy.

Hakim, Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mendapati petisyen yang difailkan oleh Ramasamy sekitar Januari lalu adalah cacat dan tidak menepati keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mahkamah turut mengarahkan Ramasamy untuk membayar kos sebanyak RM30,000.

Yuneswaran menang di Segamat dengan majoriti 5,669 undi dan mengalahkan Ramasamy, calon Perikatan Nasional, P Poobalan dan calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey.

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya melibatkan bahan kempen.

Calon daripada MIC itu turut mendakwa Yuneswaran mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Secara keseluruhan, sebanyak 11 petisyen pilihan raya difailkan pelbagai pihak memohon mahkamah membatalkan keputusan beberapa kawasan pada PRU15 lalu. - Sinar Harian