PRU15: Saingan 7 penjuru di Chenderiang, lagi mudah untuk BN menang - Saravanan

Amirrul Rabbani
November 16, 2022 09:01 MYT
Saravanan menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Tapah pada Rabu. - Gambar/ Astro AWANI
TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) Tapah, Datuk Seri M Saravanan yakin akan berjaya mempertahankan kerusi itu yang dimenangi sejak 2008 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, ia berdasarkan reaksi positif dalam kalangan rakyat setempat terhadap semua calon BN di dalam kawasan berkenaan sepanjang tempoh berkempen.
Malah katanya, beliau yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen Tapah dapat dirampas semula oleh BN walaupun berhadapan saingan tujuh penjuru.
“(Tujuh penjuru itu) lagi senang untuk kita menang. Kerana saya mahu semua orang faham bahawa pecahan-pecahan penjuru itu sebahagian besarnya adalah daripada pihak yang sama menentang kita pada PRU14.
“Daripada Pakatan Harapan (PH), mereka berpecah kepada Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Warisan. Mereka ini dahulu satu kumpulan menentang kita namun kini telah kembali sebagai parti-parti yang berlainan.
“Mungkin kalau selepas ini, sekiranya mereka menang mungkin DAP dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan berpecah pula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini pada Rabu.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: GTA tidak akan kerjasama dengan BN, PN - Tun M
SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
Pada majlis berkenaan, seramai tujuh individu menerima surat tawaran berkenaan di bawah tajaan Geran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Pada PRU15 kali ini, Saravanan berdepan saingan lima penjuru iaitu K Saraswathy daripada PH, diikuti calon Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (PN), Mohamed Akbar Yasin (Warisan), Mior Nor Haidir Suhaimi (Pejuang) dan M Kathiravan (Bebas).
Sementara DUN Chenderiang menyaksikan saingan antara BN yang diwakili Choong Shin Heng, Atyrah Hanim Razali (PH), Mohd Yunus Mohd Yusop (PN), Mohd Amin Man (Pejuang) , Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Warisan), Teratai Bah Arom (Bebas) serta Azrul Azmi Yaziz (Bebas).
Pada PRU14, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding atas tiket PH, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas menerima 7,662 undi, dengan majoriti hanya 39 undi di DUN berkenaan.
#PRU15 #M Saravanan #Tapah #Chenderiang