IPOH: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya berterima kasih kepada kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini sehingga wabak COVID-19 ketika ini berjaya dikawal.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Anwar menggelarkan dirinya sebagai ‘Bapa PKP’ namun PKP tidak hanya dilaksanakan di Malaysia sahaja, sebaliknya di seluruh dunia.

Jelasnya, sekatan pergerakan penuh melalui pelaksanaan PKP itu dibuat susulan ketika itu negara tiada rujukan bagi menghadapi situasi krisis kesihatan global seumpamanya.

Tambahnya, situasi sukar masyarakat ekoran penutupan aktiviti ekonomi juga tidak hanya berlaku dalam negara pada ketika itu.

“Dia (Anwar) kata angka 36,000 kematian akibat COVID-19 di negara kita ini adalah paling tinggi dalam dunia. Dia tidak pandai kira? Di Amerika Syarikat 1.6 juta rakyatnya maut akibat COVID-19.

“Ya, populasi mereka besar. Jadi, kalau ikut nisbah, kita mungkin 80,000 ke 100,000. Itu pun nasib baik kita dapat kawal dengan PKP dan kemudian inisiatif vaksin.

“Di peringkat antarabangsa, kita dikatakan antara negara terbaik menguruskan COVID-19. Anwar kata saya Bapa PKP, saya kata dia patut berterima kasih kerana kita sudah selamat (penularan COVID-19 terkawal),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap program Jelajah Perikatan Nasional (PN) Best Tambun di Meru Raya dekat sini, malam tadi.

Ia turut dihadiri, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

[INFOGRAFIK] 222 kerusi Parlimen, 945 calon PRU15

SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pelaksanaan penutupan pintu sempadan negara sewaktu COVID-19 mula dikesan di China pada 2019 pernah diusulkan beliau sewaktu berada dalam kabinet Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak dilakukan dan kesannya berlaku beberapa kes jangkitan COVID-19 dalam negara selepas itu.

“Saya telah mencadangkan agar pintu sempadan ditutup dan tidak membenarkan mana-mana warga asing masuk ke negara ini, kerana COVID-19 sudah melanda.

"Apa jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri ketika itu) dan juga kabinet? ‘Tak apa, biarlah begitu’.

“Kalau kita dah buat dulu (sekatan pintu sempadan) mungkin COVID-19 kita tidak seteruk mana yang kita hadapi, sebab saya telah terpaksa menguruskanya dalam keadaan yang teruk.

“Sebab itu waktu saya angkat sumpah pada Mac 2020, langkah pertama pada 16 Mac, jemaah menteri buat keputusan untuk kenakan PKP,” katanya lagi.