KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin bertegas beliau sedia memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Namun, bagi merealisasikan perkara itu, Khairy mahu pengundi di Parlimen itu terlebih dahulu menyokong dan memastikan kemenangannya di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya datang ke Sungai Buloh bukan untuk bunuh diri. Ini bukan misi kamikaze. Saya garap di sini, sebab bagi saya kalau saya menang di sini atau kalau orang Sungai Buloh menangkan saya di P107 ini, saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti kita pimpin negara kita ... InsyaAllah

"Orang Sungai Buloh sokong saya hari ini, Insyaallah dengan takdir Allah dan sokongan rakan-rakan, suatu hari nanti saya akan memimpin UMNO dan saya akan menjadi Perdana Menteri anda semua untuk kita bangunkan negara ini," katanya semasa Ceramah Kata Janji KJ di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh pada Selasa.

PRU15 | Khairy sedia jadi Perdana Menteri suatu hari nanti



Kata Khairy, selama ini beliau tidak pernah seberani itu untuk menyatakan ketegasan berkenaan.

Menurut Khairy, pada usianya 46 tahun, beliau masih boleh menunggu Datuk Seri Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia terlebih dahulu.

"Namun, saya kena menang di sini dulu. Dan tidak pernah saya cakap, tetapi saya nak cakap juga, tetapi bukan sekaranglah sekarang kita nak Datuk Seri Ismail Sabri jadi Perdana Menteri.

LIHAT KEPUTUSAN PRU14 LALU DAN CALON-CALON UNTUK PRU15 DI SINI

"Saya berumur 46 tahun boleh tunggu lagi. Tetapi, jangan lama sangatlah," ujarnya. 

Ujarnya, seorang pemimpin perlu keluar dari zon selesa.

Ia berikutan kata Khairy, jika asyik takut dan duduk di kawasan selamat, seorang pemimpin itu tidak akan mampu menjadi pemimpin yang boleh bawa negara ke peringkat lebih tinggi.

"Saya datang ke kandang naga, (dengan) 26,000 majoriti, saya menang kerusi untuk parti, saya mahu memimpin parti dan saya mahu memimpin negara saya," tambahnya. 

Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy (BN), R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Mohd Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.