KOTA BHARU: Hasrat Pas untuk duduk berunding bagi mengukuhkan kembali Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO dilihat gelap apabila Parlimen dibubarkan semalam, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Menurut beliau, harapan itu juga gagal untuk dilaksanakan berikutan kenyataan dari pimpinan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilihat sukar untuk mencari titik persamaan.

Apa lagi, tegas beliau, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga sudah menghampiri membuatkan masa yang ada semakin terhad untuk mengadakan perbincangan.

“Dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor, saat akhir pun kita bincang untuk elak pertembungan tapi kerana sikap UMNO macam sekarang, kita tengok Presiden UMNO dah buat kenyataan, semalam Khaled Nordin pun buat statement, jadi kita rasa sukar nak cari titik persamaan,” ujar Mohd Amar.

Semalam, Khaled berkata, Pas gagal memenuhi syarat yang digariskan oleh UMNO untuk menjalin kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang.

Susulan itu, UMNO menjangkakan kedua-dua parti akan bertembung di 27 kerusi Parlimen yang bertindih.

Khaled juga memaklumkan, kerjasama antara Pas dan UMNO secara automatik terputus apabila Pas gagal memenuhi syarat yang ditetapkan parti seperti yang dijelaskan oleh Presiden UMNO.

Menyifatkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti ‘isteri’ Pas, Mohd Amar masih menaruh harapan untuk terus berbincang dengan UMNO walaupun di saat akhir.

Mohd Amar juga melihat gerak-geri UMNO seolah-olah parti itu merasakan boleh memenangi PRU15 secara bersendirian.