KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago menyifatkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan tahun ini sebagai mementingkan diri.

Semasa majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN itu berkata, isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

Charles Santiago menyelar Ahmad Zahid yang tidak mengutarakan langsung mengenai bantuan atau usaha menyelamatkan nyawa sekiranya banjir berlaku semasa kempen pilihan raya malah hanya menumpukan kepada jentera untuk memenangi kuasa.

"Ahmad Zahid sepatutnya menubuhkan pasukan banjir UMNO untuk membantu orang ramai yang lari dari rumah akibat banjir seperti yang dilakukan oleh orang biasa, bukannya meminta orang ramai mengundi.

"Bagaimana individu (Ahmad Zahid) ini boleh dipercayai untuk memimpin negara?

"Mengapa pilihan raya penting walaupun di tengah-tengah banjir dan penderitaan manusia jika bukan kerana memastikan Ahmad Zahid tidak disabitkan kesalahan dan sebaliknya digugurkan pertuduhannya jika UMNO menang? Soal beliau dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Klang itu berkata, sekiranya ahli UMNO mengikut rancangan Presiden UMNO itu, mereka seharusnya berasa malu dengan diri mereka.

"Tetapi jika mereka mempunyai sedikit kesopanan, mereka harus mencari pemimpin yang lain.

"Mereka tidak mengambil berat tentang kebajikan anda atau kehidupan anda. Tidak juga semasa banjir, seperti yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid dengan jelasnya," ujarnya.