TAIPING: Penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata rundingan telah diadakan di peringkat pimpinan khususnya bersama Pas dan Bersatu bagi mengekalkan penyandang kerusi sedia ada untuk bertanding kali ini.

"Semalam, saya telah berbincang panjang lebar dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau menyatakan kesemua penyandang sama ada dari Bersatu, Pas dan komponen Perikatan Nasional (PN) akan ditawarkan bertanding semula.

"Oleh itu, saya telah nyatakan kepada beliau (Muhyiddin) bahawa saya bersedia sekali lagi untuk mempertahankan kerusi Bukit Gantang pada PRU15 kelak," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Pada PRU14, Syed Abu Hussin bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 4,089 undi menewaskan calon PKR Khadri Khalid dan Datuk Idris Ahmad dari PAS.

Syed Abu Hussin kemudian mengumumkan keluar dari UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas pada 27 Jun 2018 dan kemudian menyertai Bersatu pada 6 Jun 2020.

-- BERNAMA