KUALA NERANG: Usaha menambah baik infrastruktur kawasan luar bandar akan menjadi antara isu diberikan tumpuan untuk kemudahan rakyat sekiranya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata langkah itu selaras perkara yang dibentangkan kerajaan Keluarga Malaysia dalam Bajet 2023 dengan memperuntukkan RM2.55 bilion bagi membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.

"Saya fikir infrastruktur rakyat isu yang menjadi keutamaan saya sebab itu adalah prasarana di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar termasuk jalan kampung, jalan luar bandar, lampu jalan dan ameniti sosial (seperti membaik pulih dan menaik taraf) dewan (dan) surau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Bengkel Penerbitan Kreatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) - Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Pusat Komuniti, Padang Kerasak di Naka, dekat sini, hari ini.

Mahdzir, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata isu lain yang akan diberikan tumpuan ialah berkaitan pelaksanaan kerja penyelenggaraan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

"Ada sekolah (Tabika) KEMAS di luar bandar (dan) di kampung-kampung...ada sekolah KEMAS di pinggir bandar dan ada sekolah KEMAS hampir dengan bandar. Jadi, kita tengok kawasan di mana yang di luar bandar.

"Terutamanya yang kita tumpang....(ada Tabika KEMAS) kita menumpang di masjid, ada kita tumpang di dewan orang ramai, itu kita bagi keutamaan," kata penyandang kerusi Parlimen Padang Terap itu.

-- BERNAMA