KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan melihat kesesuaian untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sekiranya Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bergantung kepada kesesuaian dan waktu untuk memutuskan demikian.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, perkara berkenaan perlu diteliti dan diperhalusi kerana ia antara sebahagian daripada strategi.

"Tengok waktu dan ketika, adakah ia sesuai atau tidak. Jadi, ia masih lagi open ended jawapannya. Kita tengok waktu yang sesuai.

"Ia juga sebahagian daripada taktikal dan strategi," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Ditanya jika Pas tetap dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah sehingga tamat tempohnya, Ahmad Samsuri menegaskan, ia akan ditentukan apabila sampai waktunya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan PRU15 lebih awal, jika Perikatan Nasional (PN) berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Terdahulu, PN dilaporkan bercadang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis antara Ismail Sabri dan PN, dibatalkan pada saat akhir.

PN terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).