KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan keputusan membubarkan Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub bagi memberi laluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata Sarawak tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengadakan pilihan raya sekiranya parlimen dibubarkan.

“Pilihan raya ini kerana pilihan kebangsaan peringkat parlimen kita serah kepada Perdana Menteri tentukan bila pilihan raya umum ke 15 akan diadakan.

“Sarawak tiada masalah pembubaran parlimen (kerana) terletak di bawah kuasa Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Gawai 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Sebelum ini terdapat khabar angin mengatakan PRU15 mungkin akan diadakan pada tahun ini.

Tempoh penggal Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama persidangan parlimen ke-14 iaitu 16 Julai 2018.

Penggal itu dijangka tamat pada suku ketiga tahun depan bagaimanapun ia boleh dibubarkan lebih awal oleh Perdana Menteri.

Terdahulu Ismail dalam wawancara bersama Nikkei Asia di Tokyo berkata PRU15 tidak akan diadakan dalam waktu tedekat sebaliknya mahu menfokuskan kepada usaha menangani inflasi di negara ini.

““Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi, dengan harga barangan yang melambung tinggi … awak rasa ia waktu yang sesuai (untuk adakan pilihan raya?,” katanya seperti dilaporkan Nikkei.