PRU15: Tiada calon payung terjun di Perak - Saarani

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 26, 2022 10:11 MYT
Menurut Saarani, beliau telah menerima senarai nama calon yang dicadangkan oleh bahagian-bahagian, selepas tarikh tutup 15 Ogos lalu. - Gambar fail
PADANG RENGAS: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tidak akan ada calon payung terjun untuk kerusi di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, semua calon itu mestilah dicadangkan sendiri oleh Jawatankuasa UMNO bahagian dan cadangan itu telah ditutup pada 15 Ogos lalu.
Jelas beliau, ia selaras dengan Perlembagaan UMNO yang menyebut, antara tugas Jawatankuasa UMNO Bahagian ialah mencadangkan nama-nama calon.
“Semua ketua bahagian hendaklah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian dan mesyuarat tetsebut hendaklah mencadangkan nama-nama.
“Jadi, nama inilah saja kita akan bawa dalam perbincangan, kalau nama tu tidak datang dari UMNO Bahagian, payahlah sebab itu arahan yang diberi tu.
“Jadi tidak kira dia luar ke dalam, asal nama dia ada dalam itu, dia boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Program Penghijauan Malaysia: Menteri Besar bersama pelajar negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, di sini, hari ini.
Menurut Saarani, beliau telah menerima senarai nama calon yang dicadangkan oleh bahagian-bahagian, selepas tarikh tutup 15 Ogos lalu.
Beliau berkata, setiap bahagian telah mengemukakan bukan seorang, tetapi beberapa nama calon yang berpotensi.
Katanya, beliau sendiri memasukkan senarai nama itu dan akan dibawa kepada panel di Ibu Pejabat UMNO Pusat untuk dipertimbang dan diputuskan selepas mengambil kira kuota sayap-sayap.
#Saarani Mohamad #Pilihan Raya Umum ke-15 #Perlembagaan UMNO #Jawatankuasa UMNO Bahagian