PRU15: Tiada istilah menang mudah tawan Puncak Borneo - Willie Mongin

Shafik Ahmad
November 3, 2022 04:12 MYT
Meskipun dilabel sebagai calon pilihan di Puncak Borneo, Willie Mongin tidak mahu berasa selesa sebaliknya bekerja keras bagi memastikan kemenangan GPS - Astro AWANI
KUCHING:
Penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin tidak mahu berasa selesa sebaliknya sentiasa bekerja keras dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Beliau yang menang di kerusi berkenaan atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRU14 dicalonkan semula kali ini mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Sekarang tiada istilah menang mudah dalam pilihan raya, semuanya perlu berusaha keras dan ikhlas berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.
"Dengan itu kita dapat memberi keyakinan sepenuhnya kepada mereka (rakyat) untuk menyokong kita (GPS), katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS bagi PRU-15 oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pada Khamis.
Apa yang penting katanya kerjasama erat dan bersatu padu dengan satu matlamat sama untuk memastikan GPS menang di dalam PRU-15 dan Puncak Borneo.
“Seperti yang katakan sebelum ini, saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan mengenai status saya, dan hari ini saya dipilih untuk menjadi calon GPS, untuk terus berkhidmat kepada rakyat dari segi menjaga kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan serta pelbagai aspek lain," ujarnya
Pada PRU-14, Willie menang dengan majoriti 4,005 undi menewaskan pencabarnya Jeannoth Sinel (BN) dan Buln Ribos (Parti Reformasi Negeri Sarawak) dalam pertarungan tiga penjuru.
#PRU15 #Willie Mongin #PBB #Puncak Borneo