KUCHING: Tiada jaminan kukuh untuk Datuk Willie Mongin dipilih sebagai calon pada PRU ke-15 walaupun diterima masuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof. Dr. Arnold Puyok berpendapat pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk implikasi sekiranya pimpinan PBB menamakan Willie sebagai calon.

Jelasnya, parti tersebut sudah memiliki jentera yang kuat di kawasan tersebut malah telah bergerak secara aktif sejak sekian lama.

"Kita perlu lihat beliau selama ini bersama dengan parti pembangkang dan baru sekarang ini beliau ingin menyertai PBB.

"Jangan lupa di tempat beliau terdapat juga ramai tokoh ramai orang yang sudah bersusah payah berhempas pulas untuk menguatkan jentera parti PBB.

"Tidak adil kalau beliau dipilih sebagai calon kerana mungkin sudah ramai calon (ahli PBB)  yang sudah bersedia yang sudah bergerak dibawah yang sudah berusaha untuk menguatkan jentera dan sebagainya", ujar Arnold semasa ditemui Astro Awani di pejabatnya di Unimas pada Selasa.

Mengulas lanjut Arnold berkata, PBB tidak akan berdepan risiko kerugian sama ada menerima permohonan Willie mahupun sebaliknya.

Sebelum ini Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Dan Perladangan Komoditi memaklumkan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB.

Bagaimanapun, Presiden PBB Tan Sri Abang Johari Tun Openg masih enggan mengulas mengenai hasrat Willie itu.

BACA: Abang Jo enggan jawab mengenai permohonan Willie Mongin sertai PBB

Puncak Borneo sebelum ini merupakan kubu kuat PBB di bawah bekas penyandangnya, mendiang Datuk Seri Dr James Dawos Mamit sebelum kerusi itu dimenangi Willie yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Genot Sidet semasa PRU KE-14 pada 2018.

Willie bagaimanapun meninggalkan PKR pada awal 2020 menerusi Langkah Sheraton sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dilantik sebagai anggota kabinet di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.