BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa setiap pemimpin UMNO seharusnya memfokuskan kepada memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlebih dahulu sebelum memikirkan soal pemilihan parti.

Ujarnya, perkara itu tidak seharusnya dibincangkan oleh mana-mana pemimpin, sebaliknya memastikan BN terus meraih mandat rakyat pada 19 November depan.

"Saya tidak jadi Presiden UMNO waktu saya jadi Perdana Menteri. Keduanya, saya harap sewaktu kita berkempen ini kita tak perlu bincang soal pemilihan dalam parti, bagi saya yang penting untuk menang pilihan raya dahulu, itu yang penting.

"Soal pemilihan dalam parti kemudian (dibincangkan), jangan waktu pilihan raya kita bercakap soal pemilihan parti akhirnya kita bertelagah sesama kita," jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, setiap pemimpin mempunyai pengikut masing-masing dan hanya perlu fokus kepada kemenangan semata-mata berbanding bertelagah sesama sendiri.

"Setiap pemimpin ada pengikut masing-masing akhirnya satu pertembungan dan merugikan kita, saya tak nak ada perkara-perkara yang distract kerja kita ini.

"Kerja kita adalah untuk menang pilihan raya itu penting. Jadi lupakan lsoal pemilihan parti siapa Presiden, siapa nak jadi Presiden UMNO, mana line up nak naik jadi Presiden, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan sebagainya tidak perlu," katanya.

Mengulas lanjut kata calon BN Parlimen Bera itu lagi, adalah tidak bermakna sekiranya memegang jawatan di dalam parti namun kecundang dalam pilihan raya.

"Kalah dalam pilihan raya, apa pun pangkat dalam parti, tidak menjadi makna yang besar, yang penting parti menang.

"Kita perintah dahulu selepas PRU15, selepas itu ada masa enam bulan lagi menentukan kepimpinan parti, lepas itu kita berbincang dan sebagainya," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra Pusat Daerah Mengundi, Kampung Mengkarak Station disini pada Rabu.

Mengulas lanjut ujar Ismail Sabri, beliau tidak pernah menyentuh soal pemilihan parti ketika memegang jawatan Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau lebih mengutamakan kebersamaan dengan parti melebihi kepentingan diri sendiri.

"Kamu tengok saya turun mana-mana pun tak pernah sentuh soal pemilihan parti (UMNO) dari dulu, saya boleh gunakan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri waktu itu.

"Waktu itu belum ada usul menangguhkan pemilihan UMNO belum ada, saya dah jadi Perdana Menteri, patut saya boleh gunakan kedudukan saya untuk turun kerana pemilihan belum ditangguhkan.

"Tapi saya tak buat kerja itu, bagi saya fokus tugas sebagai Perdana Menteri," katanya lagi.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Zahid tidak akan jadi PM jika BN menang - Tok Mat

Ismail Sabri berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang dilaporkan media sebagai percaya beliau perlu menjadi Presiden UMNO jika mahu menerajui pentadbiran negara selepas PRU15.