SHAH ALAM: Keputusan Pas menggugurkan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama dibuat secara bersama dan kolektif tanpa dipengaruhi mana-mana pihak sekali gus menafikan kewujudan ‘Napoleon Kecil' (Little Napoleon) dalam parti itu.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, beliau boleh mengesahkan perkara itu selepas mengambil kira tindak tanduk Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak pernah membuat keputusan menggunakan kuasa veto.

Menurutnya, mengambil contoh pertemuan Abdul Hadi melibatkan pimpinan gabungan parti politik, perbincangan awal terlebih dahulu dilakukan bersama pimpinan Pas sebelum mengadakan sebarang rundingan dengan parti lain.

"Saya boleh sahkan, setiap kali tuan guru ingin berjumpa dengan pihak lain yang didedahkan atau yang tidak didedahkan. Sama ada dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berjumpa dengan Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti yang ditularkan...dan berjumpa dengan banyak pihak lagi. Satu sikap yang ditunjukkan tuan guru, kalau nak jumpa mereka esok, malam ini akan berjumpa (pimpinan Pas) di rumah, pra perbincangan dahulu.

"Maknanya, beliau berjumpa esok tu dengan mandat dan suara yang dibawa oleh parti.. pergi dan sampaikan keputusan kita. Bukannya tuan guru pergi dan buat keputusan secara veto atau serta-merta dengan pihak yang dirunding.

"Kemudian apabila berunding, diberikan syarat-syarat tertentu, maka syarat-syarat itu mungkin perkara baru yang tidak dibincang sebelum ini, maka sikap tuan guru ialah balik dan rujuk kepada parti dahulu. Inilah yang berlaku pada pertemuan dengan Muhyiddin, dengan Ahmad Zahid," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Sinar Live bertajuk 'Pas kingmaker PRU15?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai luahan Mohd Khairuddin menerusi enam hantaran di laman Facebook yang menimbulkan tanda tanya.

Hantaran bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu antaranya turut menyentuh mengenai kewujudan ‘Napoleon Kecil’ dikatakan boleh merosakkan organisasi sekali gus menyeru pelaksanaan amalan syura dan perbincangan mengikut kaedah-kaedah yang diperuntukkan.

Mohd Syahir yang juga calon Pas Parlimen Bachok menegaskan, dakwaan wujud 'Napoleon Kecil' dalam Pas adalah gelaran yang tidak tepat kerana dalam Pas hanya wujud 'Little Komander' iaitu komander-komander kecil yang melaksanakan arahan diberikan presiden.

"Berbeza dengan orang lain mungkin mengambil tindakan tanpa mandat dan juga arahan, mengambil tindakan sendiri. Itu boleh dinilai sama ada tindakan itu tepat atau tidak," katanya.

Tegas beliau, proses membuat keputusan dalam Pas adalah melalui mesyuarat dan presiden tidak mempunyai kuasa veto, malah menentukan calon bagi pilihan raya umum (PRU) juga bukanlah kuasa mutlak seorang presiden.

"Keputusan melaksanakan dasar dan hukum ia adalah tanggungjawab Jawatankuasa Majlis Syura Ulama. Maka perlaksanaan, strategi dan keputusannya tertakluk kepada bidang kuasa Pas Pusat," katanya. - Sinar Harian