PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, beliau sedia mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi mewakili parti Gerakan Tanah Air (GTA) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dalam masa sama, Dr Mahathir yang juga Pengerusi GTA berkata, parti berkenaan belum memutuskan untuk mencalonkan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, perkara itu, kata Dr Mahathir, hanya akan ditentukan sekiranya GTA berjaya membentuk majoriti selepas PRU15.

“Kita (GTA) membuat keputusan iaitu di Langkawi, calonnya ialah Dr Mahathir Bin Mohamad, tetapi bukan sebagai calon bakal Perdana Menteri, hanya calon sebagai wakil rakyat sahaja.

“Kita tak tentukan (lagi) siapa yang akan jadi Perdana Menteri sebab calon untuk Perdana Menteri itu hanya relevan kalau kita menang sahaja, kalau kalah tak relevan,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat GTA, di sini, hari ini.

Selain itu, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, GTA juga membuat ketetapan untuk bertanding sekitar 120 kerusi Parlimen bagi mencerahkan peluang mereka untuk membentuk majoriti sendiri.

Kata beliau, sasaran bertanding di lebih 120 kerusi Parlimen yang dibuat oleh GTA termasuk kerusi di Sabah.

Dalam masa sama, beliau berkata, GTA juga membuat pertimbangan untuk kerjasama politik dengan parti-parti lain yang dikira ‘sebulu’ dengan mereka iaitu menentang UMNO dan Barisan Nasional.

“Siapa parti itu, saya tak boleh dedahkan lagi. Tetapi kita sanggup adakan kerjasama kalau mereka ingin selamatkan negara kita ini daripada pemerintahan UMNO.

“Kita dapati UMNO adalah sebuah parti yang tidak sama sekali mengambil berat tentang masalah rakyat. Yang mereka nak hanya menjadi Perdana Menteri dan kerajaan. Itu saja tujuan mereka. Cakap sepanjang masa bukan berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat, tetapi untuk mereka menang PRU,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, kenyataan beliau sebelum ini bahawa UMNO akan menang PRU telah disalah faham, sebaliknya, menekankan parti lawannya itu hanya akan menang sekiranya mereka menggunakan taktik sogokan untuk meraih sokongan pengundi.

“Dalam perkara ini mereka sebut saya sebagai berkata UMNO akan menang. Saya tidak kata UMNO akan menang. Saya berkata UMNO akan menang dengan menggunakan wang, iaitu sogokan, bribery yang biasa diguna oleh UMNO.

“Dan ini adalah satu kenyataan yang dibuat untuk peringati rakyat supaya jangan terima sogokan. Kerana sogokan akan datang dari orang tidak baik. Orang baik tak perlu sogokan,” katanya lagi.

Dr Mahathir bekata, GTA tidak perlu kepada sogokan, sebaliknya kalau terpilih, mereka akan mendirikan kerajaan yang akan memberi pandangan kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat.