BERUAS: Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad menolak sebarang pencalonan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau mengumumkan akan kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beruas dan Pengarah Pilihan Raya Parlimen Beruas.

Walaupun belum pernah bertanding sebelum ini, Azhar berkata, beliau mengambil keputusan itu bagi memudahkan kepimpinan parti membuat keputusan.

“Saya telah menimbangkan sehalus-halusnya, tak nak beratkan Pengerusi (BN) Negeri, Presiden (UMNO).

“Saya juga ingin mengajak sama (ketua bahagian) tempat lain untuk mencontohi keputusan ini kerana ia (jadi calon) bukan rebutan.

“Saya pilih jaga UMNO dan bahagian… harap ada rakan-rakan lain ikut,” katanya dalam sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Beruas, di sini, hari ini.

Menurut Azhar, sebelum ini beliau telah menghantar tiga nama kepada UMNO Perak untuk dicadangkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu.

Tiga nama itu ialah beliau sendiri selain Timbalan Ketua Bahagian, Azman Noh dan Naib Ketua Bahagian, Abd Razak Ismail.

Menjadi tradisi sejak dahulu lagi, Ketua UMNO Bahagian itu akan menjadi calon DUN Pengkalan Baharu iaitu satu-satunya kerusi yang dimenangi UMNO.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berharap, pucuk pimpinan parti dapat memilih calon muka baharu, boleh menang dan mengikut hiraki dalam UMNO bahagian.

“Sebagai orang parti saya akur terima siapa sahaja calon yang diputuskan pucuk pimpinan, yang penting BN menang,” ujarnya.

Menurutnya, beliau membuat keputusan itu dengan hati terbuka, tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Saya percaya UMNO akan lagi baik dan dihormati jika ramai pemimpin yang bersikap begini, cukup-cukuplah kita berebut, beri peluang orang lain, paling penting BN menang,” tambahnya.