PRU15: UMNO Padang Besar tak setuju calon 'payung terjun', Zahidi tawar diri

Bernama
Oktober 31, 2022 13:11 MYT
Zahidi berkata terpulang kepada Jawatankuasa UMNO Bahagian, untuk menyerahkan senarai nama calon yang akan bertanding kepada pimpinan tertinggi UMNO. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin akan mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar bagaimanapun berkata terpulang kepada Jawatankuasa UMNO Bahagian, untuk menyerahkan senarai nama calon yang akan bertanding kepada pimpinan tertinggi UMNO.
"Saya pertahan kerusi ini... tetapi baru-baru ini ada ura-ura kata maklumkan kepada saya bahawa mereka yang dari Kuala Lumpur datang bertanding di Padang Besar... tetapi kita di Jawatankuasa UMNO Bahagian menyatakan tidak setuju dengan 'payung terjun'.
"Saya ikut sahaja apa Jawatankuasa UMNO Bahagian putuskan sebab dalam perlembagaan kita (UMNO) ikut Jawatankuasa UMNO Bahagian, kalau Jawatankuasa UMNO Bahagian kata bertanding di sini, saya bertanding, kalau kata tidak setuju kita ikut juga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sesi Santai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.
-- BERNAMA
#PRU15 #padang besar #calon payung terjun #Zahidi Zainul Abidin