PRU15: UMNO pertahan semua kerusi Parlimen, DUN, mahu kembali dominan - Ahmad Zahid

Firdaus Azil
Oktober 1, 2021 08:43 MYT
Ahmad Zahid berkata, dominan bukan bermaksud angkuh, tapi kewajiban utnuk kembalikan UMNO sebagai parti teras kerajaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang parti itu menangi pada pilihan raya umum yang lalu, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata,keputusan itu seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tahun lalu.
Katanya lagi, UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ketetapan ini bukan hanya oleh MKT, tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15.
“Dominan bukan pula bermaksud angkuh, tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan,” katanya lagi.
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage
Pada pilihan raya umum yang lepas, yang menyaksikan kejatuhan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, UMNO telah memenangi 54 kerusi Parlimen atau 24.32 peratus kerusi dari keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Namun, beberapa Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO, dan menyertai parti lain, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO merupakan parti terbesar bangsa Melayu dan parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.
“Dan pastinya UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama. Ini lumrah sebuah negara demokrasi.
“Namun jangan sesekali memperkecilkan kekuatan UMNO dan para akar umbinya bangkit. Rakyat telah mengerti antara kebenaran dan kepalsuan. Mereka melihat dengan jelas apa yang berlaku selepas PRU-14,” katanya lagi.
Selain itu Ahmad Zahid berkata, pisang tidak akan berbuah dua kali, dan cukup sudah apa yang terpaksa rakyat lalui sejak 9 Mei 2018.
#ahmad zahid #pilihan raya umum #kerusi parlimen dan DUN #UMNO