JOHOR BAHRU: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberikan isyarat jelas bahawa sebahagian besar rakyat negara kini menolak UMNO.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, PRU15 juga menunjukkan, berlaku tsunami politik dalam kalangan orang Melayu apabila sebahagian besar mereka bersuara menolak parti keramat itu.

Onn Hafiz dalam masa sama berpendapat, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletak jawatan selain mengambil tanggungjawab terhadap apa yang dizahirkan rakyat.

“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi 'terkorban', kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.

“Kita semua sedia maklum bahawa tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.

“Dengan penuh rasa hormat dan takzim, saya mohon supaya Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden dengan kadar segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak lakukan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, keputusan PRU15 turut menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Johor hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen dan ini sekali gus tidak menepati sasaran yang diletakkan pucuk pimpinan parti.


Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menzahirkan kekecewaan apabila parti itu tidak memenangi satu pun kerusi bagi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui PRU15.

“Usaha untuk memulihkan parti ini perlu bermula sekarang, jika tidak berubah sekarang kita tidak akan menang satu kerusi pun pada masa akan datang.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan kearah kebaikan demi masa depan parti ini,” katanya lagi.