SUBANG : UMNO tidak mempunyai kuasa untuk mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (RU15).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mempunyai majoriti sokongan dan kemampuan untuk membuat keputusan akhir.

"UMNO ada 38 ahli Parlimen. Dalam sistem, 38 ahli Parlimen tidak boleh paksa (buat keputusan).

"Keputusan harus dibuat Perdana Menteri, sekiranya Perdana Menteri mempunyai kekuatan dan boleh bertindak dengan waras sebagai Perdana Menteri," katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku Script: For A Better Malaysia, pada Ahad.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini mencapai konsensus supaya pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beliau akan membentangkan usul di Dewan Rakyat yang bakal bersidang semula minggu depan, berkenaan isu ekonomi yang telah menjejaskan kehidupan rakyat negara ini.

"Saya akan bawa usul berkenaan kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Kita minta Perdana Menteri buat usul, beliau tak mahu jadi saya akan buat usul," ujarnya ringkas.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dua hari lalu mengemukakan usul agar Dewan Rakyat membahaskan masalah ekonomi negara termasuk kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, melalui satu pemberitahuan bertulis.