KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman disahkan bertanding di kerusi Parlimen P89 Bentong dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau dijangka berdepan saingan sengit daripada bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dikatakan mahu merebut semula kerusi panas tersebut selepas tewas kepada bekas Ahli Parlimen Bentong Wong Tack pada 2018.

Nama Young Syefura atau turut dikenali sebagai Rara, telah dipersetujui kepimpinan parti itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Untuk rekod, PRU14 lalu menyaksikan Liow yang hanya meraih 23,684 undi tewas kepada penyandang kerusi itu dari DAP, Wong Tack dengan majoriti 2,032 undi.


Selain Young Syefura, DAP turut mempertaruhkan tiga lagi calon mewakili Pakatan Harapan bagi empat kerusi Parlimen di Pahang dalam PRU15.

Tiga calon berkenaan ialah bekas Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang bertanding di Lipis, bekas ADUN Tras Chow Yu Hui (Raub), dan bekas ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong (Cameron Highlands).

Menurut Setiausaha Agung Anthony Loke Siew Fook, terdapat satu kerusi tambahan yang dipertaruhkan bagi Parlimen di Pahang berbanding PRU14.

Jelasnya lagi, ini merupakan strategi penting yang dipertimbangkan oleh DAP dengan meletakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman mengendalikan DUN masing-masing.

“Jadi ini merupakan satu strategi penting dipertimbangkan oleh DAP, kita letakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman iaitu ada pengalaman di kawasan tersebut, yang sudah berkhidmat di sana, pengundi mengenali mereka dan mereka akan bertanding di peringkat Parlimen.

“Kita tahu beberapa kerusi ini adalah kerusi panas, terutamanya Bentong dan Raub, tetapi ini adalah kerusi marginal, pimpinan pusat meletakkan tumpuan terhadap kerusi yang akan dipertandingkan.

“Kita ambil pendekatan untuk memberi sokongan penuh daripada ibu pejabat kepada beberapa kerusi ini,” katanya dalam sidang media khas di ibu negara pada Rabu.

Difahamkan, nama bagi calon-calon yang akan dipertaruhkan DAP bagi peringkat DUN akan diumumkan minggu hadapan.

Loke turut memberi bayangan bahawa Tengku Zulpuri juga akan dipertaruhkan di peringkat DUN.