KUALA LUMPUR: Gesaan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal perlu dilihat sebagai isyarat politik bagi menguji kesiapsiagaan jentera parti, bukannya pengumuman tarikh rasmi pembubaran Parlimen.
Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata cadangan tersebut merupakan langkah Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan kedudukan dan pandangan mereka di meja rundingan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Beliau berpandangan, desakan memperbaharui mandat itu timbul bagi mengelakkan ketidaktentuan politik yang berpanjangan dalam pentadbiran sedia ada, selain memperkukuh kestabilan kerajaan yang ketika ini dilihat berada dalam fasa "bergandingan tetapi berasingan".
"Ia bukan pengumuman tarikh pilihan raya, tetapi kesiapsiagaan ke arah detik berhadapan PRU16 itu jelas.
"Persoalannya bukan semata-mata awal atau lewat, tetapi adakah mandat politik semasa perlu diperbaharui sebelum penggal tamat? Barangkali itu yang mahu diperincikan dalam perhimpunan agung yang akan datang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kuasa menentukan tarikh pembubaran Parlimen kekal sebagai hak prerogatif Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, Sivamurugan berkata, bola kini berada di gelanggang Perdana Menteri' untuk meneliti pelbagai pertimbangan strategik sebelum membuat sebarang keputusan besar.
"Perdana Menteri akan melihat keadaan ekonomi, sentimen rakyat, populariti kerajaan, prestasi dasar, kesiapsiagaan parti dan keadaan pembangkang. Semua itu akan diuji dalam menentukan tarikh pilihan raya.
"'Timing' itu cukup penting... bila dikatakan awal, bukannya esok atau lusa, tetapi barangkali enam hingga lapan bulan supaya parti-parti komponen turut bersiap sedia," jelas beliau.
Mengulas mengenai asas keyakinan UMNO yang bersandarkan kejayaan pada beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Sivamurugan mengingatkan parti terbesar orang Melayu itu agar tidak mengulangi kesilapan lampau.
"Kita tidak boleh menjadikan kemenangan di PRN Johor atau Negeri Sembilan sebagai rujukan semata-mata.
"Kita pernah melihat dalam sejarah sebelum 2022 bagaimana UMNO-BN menang di peringkat negeri, tetapi akhirnya gagal memenangi kerusi majoriti di peringkat Persekutuan. Itu pengajaran yang perlu diteliti supaya tidak berulang," tambahnya.
Beliau berpandangan, walaupun tarikh rasmi belum dimuktamadkan, 'jam PRU' kini sudah mula berdetik dengan pelbagai pihak giat mencatur posisi politik serta meneroka formula kerjasama baharu pascapembubaran kelak.