POLITIK
PRU16: UMNO perlu guna pendekatan baharu untuk menang, rampas semula kerusi - Wan Rosdy

Wan Rosdy berkata keadaan politik semasa yang sangat dinamik terutama dengan Undi 18 memerlukan UMNO melakukan perubahan pendekatan dan tidak boleh lagi terperangkap dengan pemikiran biasa. - Gambar fail
KEPALA BATAS: UMNO perlu menggunakan pendekatan baharu dalam usaha merampas semula kerusi yang tewas termasuk Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keadaan politik semasa yang sangat dinamik terutama dengan Undi 18 memerlukan UMNO melakukan perubahan pendekatan dan tidak boleh lagi terperangkap dengan pemikiran biasa.
"Kita kaji apa yang harus kita buat sebelum menghadapi pilihan raya, sebagai contoh kita (di Pahang) telah mula mendekati anak muda dengan lebih agresif dan siswa-siswi serta anak-anak Pahang yang berada di luar Pahang, kita dah buat libat urus.
"Kalau kita menggunakan pendekatan yang sama, kita akan mendapat keputusan yang sama, jadi daripada segi prestasi, kita kekalkan tetapi tambah lagi pendekatan lain yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong kerajaan yang ada," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Wan Rosdy juga meminta UMNO Kepala Batas tampil dengan perancangan dan strategi bagi merampas kembali kerusi Parlimen itu yang pernah disandang oleh bekas Perdana Menteri iaitu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 1978 hingga 2013.
Untuk rekod, pada PRU15, Reezal Merican yang kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas apabila kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Siti Mastura Muhammad dengan majoriti undi 2,867.
Mengulas mengenai kenyataan PN yang mendakwa sudah merangka strategi untuk menawan Pahang pada PRU akan datang, Wan Rosdy berkata pembangkang hanya memainkan sentimen dan persepsi untuk menunjukkan kebolehan mereka di mata rakyat.
"Mereka tidak tahu pun keadaan kita di Pahang... kita sekarang ini kerja kuat untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang dimenangi PN," katanya.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata PN sudah merangka strategi untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu daripada Barisan Nasional malah berhasrat menawan Pahang pada PRU akan datang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami