Pulangkan gaji tidak akan hentikan kritikan terhadap Ahmad Faizal - Aziz Bari

Astro Awani
September 20, 2021 10:08 MYT
Ketua Pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari menyifatkan tindakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memulangkan semula gaji sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri tidak akan menghentikan pelbagai kritikan terhadap beliau. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari menyifatkan tindakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memulangkan semula gaji sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri tidak akan menghentikan pelbagai kritikan terhadap Menteri Belia dan Sukan itu.
Jelasnya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu sepatutnya menolak pelantikan sebagai Penasihat Khas itu kerana pentadbiran berkenaan telah sedia diketahui terlalu besar, tidak perlu dan hanya menjadi beban kepada rakyat.
"Terbaharu beliau berkata beliau akan memulangkan gaji dan elaun yang beliau terima sebagai Penasihat Khas di bawah pentadbiran Muhyiddinn Yassin. Tindakan tersebut tidak akan menghentikan pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Ahmad Faizal dilaporkan mahu memulangkan keseluruhan RM27,000 gaji diterimanya sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri selama 11 hari dan wang tersebut akan disumbangkan kepada Tabung COVID-19.
#Ahmad Faizal Azumu #abdul aziz bari #DUN #Ketua Pembangkang Perak #gaji