POLITIK

Pusat Khidmat di Padang Serai: Akses untuk rakyat, bukan 'hint' bertanding- Saifuddin

Abd Hadi Che Awang 17/01/2026 | 01:15 MYT
Saifuddin Nasution menjelaskan, pembukaan Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Padang Serai bukan gambaran awal bahawa beliau akan bertanding di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
PADANG SERAI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, pembukaan Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Padang Serai bukan gambaran awal bahawa beliau akan bertanding di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Sebaliknya, kata beliau, ia bagi memudahkan penduduk di kawasan selatan negeri Kedah menerima akses dan manfaat daripada pelbagai agensi yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah turut memaklumkan bahawa masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerusi yang akan ditandinginya dalam PRU-16.

"Jadi Kedah ini di sana (Alor Setar sudah ada pelbagai akses), yang ini (kawasan) Kedah Selatan jadi lebih mudah rakyat dapat akses, saya boleh jadi bertanding boleh jadi tidak, boleh jadi disini (Parlimen Padang Serai), boleh jadi tempat lain, masih terbuka semuanya,

"Saya (pun) tidak ada sebut secara affirmatively pelancaran Pusat Khidmat. saya (kata) sahkan di sini (saya bertanding), tidak ada tempat lain, tidak ada (begitu), saya tidak sebut macam itu," katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Padang Serai di Taman Sejahtera, Lunas, malam tadi (pada Jumaat).

Dalam perkembangan berasingan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu menyatakan bahawa kerjasama yang terjalin antara gabungan berkenaan dengan Barisan Nasional (BN) berada pada tahap yang baik.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas beberapa kenyataan untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal ini.

"(Kerjasama kali ini dengan BN dan UMNO) berbeza dengan 2020 tempoh hari, (ketika itu) dalam (tempoh) tiga tahun itu sudah dua Perdana Menteri dah, ini masih terus (dibawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri),

"Kita pun tengok ucapan Presiden UMNO tadi (pada Jumaat di Perhimpunan Agung UMNO), dia terus buat keputusan bahawa pilihannya adalah untuk UMNO terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan."

Pada Jumaat, Ahmad Zahid mengakui wujud rasa tidak selesa di kalangan akar umbi tentang pendirian parti untuk bersama bekas seteru politik dalam membentuk kerajaan.

Namun, menurutnya, semua pihak perlu berdepan realiti baharu politik negara yang kini menuntut kerjasama rentas gabungan, sambil mengakui era dominasi tunggal mana-mana parti politik telah berakhir.

Tegas beliau lagi, dengan keupayaan pemimpin untuk menerap semangat ‘politics is the art of compromise',UMNO masih berupaya menjadi suara dalam mempertahankan Islam, bangsa, dan institusi beraja di dalam kemajmukan Kerajaan Perpaduan.


#Saifuddin Nasution #Padang Serai #pusat khidmat #PRU16