KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO berharap agar ahli sayap itu diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan hadapan.

Ketuanya Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata beberapa nama yang berkelayakan, sudah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya tersebut.

"Untuk senarai calon, saya ada hantar dua ke tiga nama (calon) yang saya merasakan sudah bersedia untuk bertanding di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan sedang menunggu pertimbangan daripada pucuk pimpinan parti.

"Tentang itu (nama dan negeri) biarlah rahsia dahulu. Untuk PRN ini, Puteri UMNO akan berkempen di setiap negeri, tetapi jika calon daripada Puteri UMNO diangkat mungkin kita akan memberi fokus pada kawasan ditandingi itu," katanya selepas Mesyuarat Exco Puteri UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu akan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.

Dalam pada itu, Nurul Amal berkata persediaan jentera Puteri UMNO bagi menghadapi PRN kini sudah mencapai 68 peratus.

Beliau berkata pelbagai strategi dirancang melibatkan parti gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan dalam usaha untuk meraih sokongan pengundi, termasuk di dua negeri yang merupakan kubu kuat PAS iaitu Kelantan dan Terengganu.

"Kami telah memulakan gerak kerja bersama parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan. Selain itu kami tekankan kepada jentera di bawah (peringkat akar umbi), untuk memastikan kita tidak lari daripada fokus terhadap pengundi yang berusia 40 tahun ke bawah dan wanita," katanya.

Beliau berkata Geng Perpaduan yang dilancarkan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 pada Mei lepas, juga akan digerakkan ke enam negeri pada PRN kali ini selain turut memperluaskan penggunaan media sosial bagi menarik sokongan generasi muda.

Selain itu, Nurul Amal turut menasihatkan jentera sayap itu agar tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang dibangkitkan pihak tertentu sehingga 'membakar rumah sendiri' sebaliknya kekal fokus untuk memastikan calon daripada parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan memenangi PRN tersebut.

-- BERNAMA