KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu memberikan perhatian khusus kepada pembangunan di negeri Sarawak terutamanya dalam bidang ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Menurut Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, beliau yakin pembangunan sosio-ekonomi Sarawak akan dapat dibangunkan sejajar dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.

‘’Saya percaya Sarawak tidak akan ketinggalan dalam aspek pembangunan selari dengan semangat Keluarga Malaysia yang mementingkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

‘’Saya juga yakin kepimpinan Sarawak sentiasa berusaha mengekalkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

‘’Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan yang diberikan kepada Kerajaan Sarawak,’’ katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pembukaan Sidang Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.

Pada masa sama, Abdul Taib percaya rakyat Sarawak telah membuat pilihan yang tepat kerana memilih sebuah kerajaan yang mantap menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Disember lalu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) jelasnya, telah menunjukkan dan mengamalkan suasana berpolitik yang matang dan meletakkan keharmonian dan kestabilan negeri sebagai agenda utama.

“Walaupun Pilihan Raya Negeri ke-12 telah diadakan dalam tempoh waktu yang sukar akibat penularan wabak COVID-19, namun rakyat kita telah berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Sehubungan itu saya menyeru rakyat, terutamanya generasi muda terus mengekalkan suasana harmoni dan toleransi.

“Keamanan dan perpaduan adalah hadiah warisan yang paling bermakna daripada kita kepada generasi akan datang,” ujarnya lagi.