POLITICS
Rafizi tokoh sesuai sertai 'payung besar' PRU16 - Annuar Musa
Annuar berkata, kekalahan Rafizi dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat tidak semestinya melenyapkan figura utama politik negara itu daripada landskap politik yang semakin dinamik. - Gambar fail
SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berpandangan bahawa Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli merupakan tokoh yang sesuai untuk menyertai satu koalisi politik nasional yang disifatkan sebagai 'payung besar' dalam membawa transformasi negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ringkasan AI
- Tan Sri Annuar Musa mencadangkan agar Datuk Seri Rafizi Ramli menyertai satu koalisi politik nasional atau payung besar yang bertujuan membawa transformasi negara menjelang PRU16, walaupun beliau tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
- Annuar menyifatkan Rafizi sebagai tokoh pintar yang menjadi mangsa pembunuhan politik dalam partinya sendiri, namun masih relevan dan berpotensi menyumbang kepada landskap politik negara yang semakin dinamik.
- Cadangan ini selari dengan inisiatif Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mahu membentuk konsensus nasional merentas politik, agama dan kaum demi memastikan Malaysia kekal berdaulat dalam dunia yang semakin kompleks.
Annuar berkata, kekalahan Rafizi dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat tidak semestinya melenyapkan figura utama politik negara itu daripada landskap politik yang semakin dinamik.
Sebaliknya, bekas Setiausaha Agung UMNO itu percaya bahawa Rafizi mampu membawa perubahan sekiranya diberi ruang menyertai 'payung besar' yang dipercayai merujuk kepada cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membentuk satu konsensus nasional bagi menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, suara keagamaan, masyarakat sivil dan rakyat pelbagai lapisan.
"Kekalahan Rafizi telah diduga, namun ia berlaku dalam keadaan beliau tetap bertanding dan melawan.
"Saya berpandangan Rafizi menjadi mangsa kepada ‘pembunuhan politik’ oleh pimpinan partinya sendiri hanya disebabkan kepintarannya.
"Namun, Rafizi tidak semestinya lenyap daripada landskap politik negara yang sedang bergerak dinamik. Rafizi sesuai menyertai ‘payung besar’ yang bakal membawa transformasi sebenar menjelang PRU16," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Seruan Annuar itu dilihat seiring dengan kenyataan terkini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mencadangkan pembentukan satu konsensus nasional.
Cadangan Hamzah dilihat sebagai usaha menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik, suara agama, masyarakat sivil dan kaum, sekali gus tidak terhad kepada satu agama, kaum atau wilayah semata-mata.
Menurut bekas Menteri Dalam Negeri itu, teras pembinaan konsensus nasional baharu bukan hanya berkisar soal kemenangan pilihan raya, sebaliknya berkenaan usaha memastikan Malaysia kekal dihormati dan berdaulat dalam dunia multipolar. - Sinar Harian