KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melontarkan persoalan kepada ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bilakah mereka akan bertindak keluar daripada parti tersebut?

Presiden UMNO itu berkata, sekiranya Bersatu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, adalah sudah terlambat untuk berbuat demikian.

Ahmad Zahid berkata demikian susulan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan keluar parti berkuat kuasa Jumaat lepas.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada pimpinan Bersatu, Khamis lalu.

Menurut Ahmad Zahid, apabila Rais keluar Bersatu, sudah pasti pakar dan ahli strategis boleh membaca dan menjangka situasi politik semasa.

"Jika partinya masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah, maka perjuangan pasti diteruskan dan terus bersama parti, lebih-lebih lagi apabila parti mempunyai jawatan strategik dalam kerajaan termasuk kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) .

"Namun pakar strategis tersebut tetap dapat membaca secara tajam, meskipun Bersatu ada jawatan Menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan GLC, malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun dilihat tidak ada impak terhadap negara dan parti.

"Sudah pasti situasi ini mudah dibaca oleh ahli strategis Bersatu.

"Manakala ahli Bersatu biasa tidaklah ada kesedaran ini, melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa parti itu boleh memang besar dan membentuk kerajaan selepas PRU15 ini.



Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, terdapat juga yang telah melompat parti masuk ke dalam UMNO secara terbuka mahupun senyap.

Jelasnya lagi, terdapat juga ahli Bersatu yang mengaku telah kembali ke pangkuan UMNO walaupun tidak pernah diketahui UMNO bahagian.

"Ada juga yang mengaku kembali tetapi sikapnya tidak menunjukkan disiplin dan taat kepada parti seperti sikap adu domba masih ada dan jika dibiarkan akan menjadi api dalam sekam.

"Apa pun, tindakan ahli strategis dan pengasas bersama Bersatu keluar dari parti Bersatu merupakan satu tamparan besar kepada parti Bersatu dan tentulah ada faktor yang besar yang menyebabkan beliau keluar dari parti Bersatu, ketika pilihan raya umum semakin hampir.

"Salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada parti sendiri  yang dilihat bakal  tewas dan tak boleh diselamatkan lagi akibat tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang kuasa, jentera yang lemah, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan, dan tidak ada agenda perjuangan yang jelas" ujarnya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa, Bersatu hanya menguntungkan segelintir pemimpin dari segi jawatan Kabinet sedangkan ahlinya yang sedikit terus terbiar.

Beliau menambah, percubaan Bersatu sejak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan UMNO selepas pilihan raya jelas menemui kegagalan.

"Ahli UMNO sejati walaupun pernah tewas PRU14, cuba diaibkan dengan pendakwarayaan terpilih, cuba diugut dibubarkan parti UMNO tetap tidak goyang dalam mempertahankan UMNO.

"Malah sanggup mempertahankan UMNO dengan jiwa raga, walau pun ada yang menjauhi diri daripada parti, ada yang lompat parti dan ada juga menjadi musuh dalam selimut parti," jelasnya.

Ahmad Zahid turut sempat mengucapkan tahniah kepada Rais kerana bertindak keluar daripada Parti Bersatu.

"Tahniah diucapkan kerana pandai membezakan parti mana yang relevan dan bakal menang menjelang pilihan raya umum," katanya.