KUALA LUMPUR: Rakyat perlu melihat secara objektif hasil pencapaian 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata dalam tempoh itu, antara perkara yang dilaksanakan ialah pengenalan Malaysia MADANI, pembentangan Belanjawan MADANI dan pengukuhan dasar luar bagi menarik pelaburan.

"(Penilaian 100 hari) ini merupakan satu perkara yang biasa dalam amalan politik di negara kita... ia juga sangat membantu dalam memberikan kita satu 'tekanan' bagi menyelesaikan sesuatu perkara dalam masa 100 hari, (penyelesaian) harus disegerakan.

"Beliau sebagai Perdana Menteri juga harus urus kepelbagaian (ideologi politik) yang melatari Kerajaan Perpaduan ini dan Alhamdulillah dalam tempoh ini telah ditubuh Sekretariat Kerajaan Perpaduan," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV, Sabtu malam.

Shamsul Iskandar berkata ini membuktikan seluruh parti dalam Kerajaan Perpaduan bersepakat memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Anwar.

Beliau berkata kali terakhir negara menyaksikan dua pertiga majoriti di Parlimen adalah semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi manakala Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi tetapi penubuhan Kerajaan Perpaduan membolehkan sokongan dua pertiga dicapai.

"Walaupun ada dalam kalangan pembangkang yang cakap 'tebuk atap dinding nak runtuh,' mereka boleh cakap sesuka hati mereka.

"Kita (sebagai kerajaan) mempunyai persefahaman bahawa persepaduan parti dalam Kerajaan Perpaduan ini bertujuan untuk menyampaikan, memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat. Pada saya, itu sangat mustahak dan itu difahami oleh pemain dan pemimpin politik kita," katanya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan dan mula menerajui Kerajaan Perpaduan pada 24 Nov 2022, lima hari selepas keputusan rasmi PRU15 dan hari ini genap 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri.

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar parti dan gabungan politik mempertimbang penubuhan Kerajaan Perpaduan bagi mengakhiri kemelut pasca-PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH.

-- BERNAMA