SEBUYAU (Sarawak): Parti politik yang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum undi percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan pada sidang Parlimen September ini, tidak akan mendapat sokongan rakyat yang mahu kerajaan menangani masalah COVID-19 yang kritikal sekarang.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam keadaan negara sekarang rakyat menaruh keyakinan terhadap kerajaan untuk mengatasi kesan ekonomi berikutan pandemik itu.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tindakan mereka bukan sahaja menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani COVID-19, malah menjejaskan kestabilan politik negara serta ekonomi yang hanya merugikan rakyat.

"Jika ada undi percaya pada September ini, sebaiknya adalah untuk pertahankan kerajaan sekarang (PN) sehingga habis penggal, kemudian barulah diadakan pilihan raya.

"Sarawak satu contoh moral yang baik dari segi politik... tidak main politik banyak sangat. Kita tangani masalah COVID-19 ini dulu. Jika tidak, dengan sendirinya masalah ekonomi kita akan terjejas dan pembangunan akan jadi lembap," katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan baru Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X'Change Bank Rakyat di sini, hari ini.

PBB merupakan parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang turut melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu semasa berucap di majlis itu, beliau berkata kementeriannya akan memastikan rakyat di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan, yang dilihat mampu memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada peniaga dan penduduk di sekitar.

Justeru itu katanya, dengan pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X'Change ini, ia akan boleh di memanfaatkan 16,373 penduduk di daerah kecil itu.

Di Sarawak, Bank Rakyat mempunyai 14 Cawangan iaitu di Bintulu, Kapit, Kota Padawan, Kota Samarahan, Limbang, Matang Jaya, Miri, Mukah, Permy Jaya, Sarikei, Satok, Sibu, Simpang Tiga dan Sri Aman selain mempunyai dua buah lagi cawangan Rakyat Xcess dan Ar- Rahnu X'Change di Betong dan Lundu.

-- BERNAMA