[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
POLITICS

Ramanan selar pihak tertentu sebar fitnah guna namanya

Bernama 29/05/2025 | 08:48 MYT
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata tindakan itu, jelas menunjukkan sikap terdesak pihak berkenaan demi kepentingan politik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah menggunakan namanya dalam bentuk kenyataan media palsu.


Ringkasan AI
  • Ramanan membidas penyebaran fitnah Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kenyataan media palsu menggunakan namanya, menyifatkannya sebagai usaha terdesak demi kepentingan politik.
  • Nasihat kepada orang ramai: Beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap penyebaran maklumat palsu dan menegaskan bahawa sebarang kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan melalui pejabat atau platform sosial media rasminya.
  • Konteks politik semasa: Fitnah tersebut muncul selepas peletakan jawatan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, susulan kekalahan mereka dalam Pemilihan PKR 2025.


Dalam satu kenyataan hari ini, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata tindakan itu, jelas menunjukkan sikap terdesak pihak berkenaan demi kepentingan politik.

"Sebarang kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan melalui pejabat saya atau melalui platform sosial media rasmi saya," katanya.

Terdahulu, tular satu kenyataan media di aplikasi WhatsApp yang menggunakan nama Ahli Parlimen Sungai Buloh itu dengan tajuk "Peletakan Jawatan Rafizi dan Nik Nazmi Bukti Nyata Kesuburan Demokrasi PKR".

Justeru, Ramanan turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap cubaan pihak tertentu yang semakin terdesak untuk menyebarkan fitnah.

"Seperti yang saya sarankan semasa membuat ucapan penggulungan di Konvensyen PKR minggu lepas, gejala penyebaran bahan-bahan fitnah semakin berleluasa, anggota parti perlu melawannya dengan tindakan yang drastik," katanya.

Semalam, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli disusuli Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan meletak jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan.

Pada Pemilihan PKR 2025 minggu lepas, Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi tewas pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.

-- BERNAMA




#r ramanan #sebar fitnah #naib presiden pkr #Rafizi Ramli #Nurul Izzah