SHAH ALAM : Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi pernah meminta bantuannya untuk menyambung kontrak sebagai Senator di Dewan Negara dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Nurulhidayah mendakwa, Ras Adiba meminta beliau 'berbisik' kepada bapanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap keputusan Ras Adiba menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan disebabkan dua jawatan tersebut tidak disambung oleh kerajaan.

“Saya bersikap terbuka dan berlapang dada. Saya berharap keputusan Kak Deeb (Ras Adiba) ini tidak ada kena mengena dengan isu beliau tidak disambung term Senator di Dewan Negara dan jawatan sebagai Pengerusi Bernama.

“Secara terbuka saya nyatakan Kak Deeb ada meminta bantuan saya untuk ‘bisik’ kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) tentang penyambungan term beliau dalam dua jawatan tersebut.

“Saya telah sampaikan kepada TPM tentang hasrat beliau tetapi keputusan besar bukan keputusan TPM sendiri dan sesiapa sahaja harus menghormati dan tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Anak sulung Presiden UMNO dalam hantaran tersebut mengakui terkejut dengan berita penyertaan Ras Adiba ke dalam Bersatu.

Katanya, pada Perhimpunan Agong UMNO 2023 selaku Pesuruhjaya NGO Skuad Sayang beliau telah mencadangkan Ras Adiba diangkat sebagai ikon di Majlis Hi-Tea Anugerah Skuad Sayang Wanita UMNO meskipun ada suara-suara tidak senang mengenai keputusan itu.

"Saya mempunyai hujah sendiri untuk mengangkat beliau sebagai seorang penerima anugerah tersebut kerana penglibatan beliau dalam NGO OKU yang bakal membantu NGO Wanita UMNO sendiri dalam menyantuni rakyat OKU.

"Beliau bersetuju untuk menerima anugerah tersebut dan di luar kawalan dan pengetahuan saya, beliau secara terbuka dan rasminya telah menyertai parti Bersatu," katanya.

Nurulhidayah bagaimanapun mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas wartawan dan penyampai televisyen tersebut dalam parti baharu yang disertainya.

Ras Adiba Radzi mengangkat sumpah sebagai senator pada 20 Mei 2020 dan dilantik sebagai Pengerusi Bernama pada 24 November 2020. - Sinar Harian