SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris hanya sebagai ‘tin kosong’ yang dipelihara oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimi berkata, tindakan Razali dalam mempertahankan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mungkin kerana menerima desakan daripada akar umbi.

“Saya berpandangan Razali hanya umpama 'tin kosong' yang terus dipelihara oleh Muhyiddin.

“Mungkin beliau 'terpaksa' bersuara selepas beberapa desakan dari akar umbi dan 'cybertrooper' PN sendiri untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Razali menempelak tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang didakwa menuduh Muhyiddin menyebarkan berita palsu.

Ia susulan Muhyiddin mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Razali berkata, Muhyiddin merupakan figura berprinsip, dihormati, berintegriti, benar dan berani serta pernah memegang beberapa jawatan penting di negara ini.

Mengulas lanjut, Razeef berkata, Razali sama sekali tidak memberi sebarang hujah bahawa terhadap kenyataan Presiden Bersatu itu benar bagi menepis teguran Fahmi sebaliknya hanya mengeluarkan kata-kata amarah dan memuji Muhyiddin.

“Saya mencabar Razali untuk mengulangi kenyataan Muhyiddin bahawa menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.

“Jangan hanya tahu berbunyi seperti tin kosong hanya untuk menyelamatkan tengkuk sendiri,” tegasnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian