'Recall election' sebagai langkah awal penyelesaian isu lompat parti - Azalina

Israr Khalid
Mac 25, 2022 01:30 MYT
Azalina menyerahkan notis usul cadangan RUU Pemecatan Ahli Parlimen pada September tahun lalu. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kaedah ‘recall election’ yang diusulkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen merupakan cadangan langkah awal penyelesaian kepada masalah interpretasi kepada makna ‘lompat parti.’
Kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, pengertiannya yang mempunyai interpretasi berbeza dalam kalangan kumpulan berkepentingan, yakni parti-parti politik dalam kerajaan dilihat sebagai punca mengapa tindakan untuk meluluskan pembentangan RUU berkaitan hal lompat parti masih tidak terlaksana dengan alasan perlu diteliti dan diperhalusi lagi.
Kekeliruan wujud, memberi contoh situasi di mana adakah seseorang wakil rakyat itu dikira sebagai lompat parti seandainya dia dipecat oleh parti dan menyebabkan terlucutnya kerusi perwakilan yang didudukinya.
“Itu menjadi satu konsep yang tidak adil kepada orang politik kerana dalam Dewan kami ada imuniti, maknanya kami mempunyai perlindungan yang diberi oleh Perlembagaan supaya kami boleh berbahas dalam apapun isu terutama sekali isu mengenai rakyat.
“Ia menjadi amalan sistem Westminster iaitu ahli-ahli Dewan berhak untuk ‘cross the floor, maknanya kami boleh berbahas atas isu yang parti tidak bersetuju tetapi parti tidak boleh adakan tindakan.”
Maka disebabkan itu beliau yang juga Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN) melihat perlunya mengembalikan suara balik kepada rakyat di kawasan terlibat untuk menentukan sama ada wakil rakyat itu kekal atau tidak.
Misalnya, kalau ada wakil rakyat yang dibuang parti, tidak perlu diadakan semula pilihan raya kalau katakan (satu jumlah) 40 peratus contohnya daripada pengundi berkata dia boleh kekal sebagai wakil rakyat mereka walaupun dia tidak berparti.
“Perkara seterusnya yang saya nak tekankan di sini, banyak orang lupa bahawa sebenarnya apa keadaan sekalipun contohnya lepas pilihan raya wujud kerajaan campuran seperti hari ini, kita boleh wujudkan perjanjian gabungan pasca pilihan raya (post-election coalition agreement), ini berlaku di banyak negara yang mentadbir gaya Westminster.
“Maknanya tak semestinya seorang individu itu boleh bergabung dengan kerajaan hanya atas dasar parti sahaja. Dia boleh pergi bersama kerusi dia untuk membantu kawasan dia.
“Itu sebab sistem meluluskan bajet itu ada CDF, CSA sebab ini adalah terminologi yang dipakai untuk membenarkan ahli politik itu bergerak keluar dari ruang lingkup yang ditawarkan dirinya kepada rakyat (yakni parti) sebab dia memikirkan maslahah umum itu.
“Jadi itu sebagai satu pembelaan kepada tindakan.”
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru yang turut disertai Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan dihoskan oleh Ibrahim Sani, di sini:
'
Recall election' penyelesaian kepada isu lompat parti - Azalina
Dialog Tiga Penjuru: Segerakan Akta Anti Lompat Parti
#Dialog Tiga Penjuru #Antilompat parti #Azalina Othman #Recall Election