KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘meminta’ dikemukakan cadangan senarai nama rombakan Kabinet yang didakwa akan berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tanpa mengesahkan perkara tersebut, Anwar berkata, senarai tersebut akan dipertimbangkan oleh beliau.

“(Mengenai rombakan Kabinet) Jika ada cadangan, sila tulis kepada saya.

“Saya akan bagi pertimbangan sebaiknya,” kata Perdana Menteri secara ringkas kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai desas-desus berlaku rombakan Kabinet melibatkan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan selepas PRN.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang rombakan Kabinet adalah hak mutlak dan berdasarkan budi bicara Perdana Menteri.